Saturday, August 28, 2010

KOMPONEN SASTERA DALAM BAHASA MELAYU : PERANCANGAN BAHASA UNTUK PENGUASAAN ESTETIK BAHASA PELAJAR

1.0 PENGENALAN

1.1 Abstrak Kajian

Penulisan ini bertujuan untuk meneliti aspek-aspek yang terkandung dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu sekolah menengah (tingkatan 1 hingga 5) berkenaan pendekatan menggunakan komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Penulisan ini memberi tumpuan kepada aspek-aspek perancangan bahasa yang telah didokumentasikan, iaitu latar belakang dan sejarah, matlamat, objektif, hasil pembelajaran dan pendekatan yang menekankan kemahiran-kemahiran berbahasa yang dipilih dan diperakukan. Perancangan ini juga mengundang isu-isu dan cabaran terhadap pelaksanaannya. Penulisan ini juga menghuraikan bagaimana proses perancangan bahasa dilakukan yang melibatkan banyak pihak sehingga terbentuk satu dasar mewajibkan komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Hasil penganalisisan ini dapat memperlihatkan sejauh mana pendekatan komsas mampu memberi peluang, pendedahan dan kemahiran pelajar menggunakan bahasa secara teratur, gramatis, kreatif dan kritis dan penghayatan terhadap estetik bahasa.

1.2 Pendahuluan
“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang dengan sepenuhnya dari segi
jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkat nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”
Peraturan 3(1) P.U.(A) 531, Akta Pendidikan 1996
[Peraturan-peraturan Kurikulum Kebangsaan 1997]
Di ruangan kata pengantar Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (2000: v) Dato’ Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia menyatakan bahawa kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum bertujuan untuk memenuhi hasrat Akta Pendidikan 1996 dan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan , dan menyediakan murid untuk menghadapi cabaran pendidikan pada abad ke-21.
Kurikulum yang disemak semula memberikan penekanan pada nilai murni dan semangat patriotik untuk menyedarkan murid akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara maju dan masyarakat berilmu. Murid dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, bertataetika tinggi, bijaksana, serta dapat menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara berkesan. Diharapkan kurikulum ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan tabah mengatasi segala rintangan dan cabaran dalam kehidupan.
Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi, bahasa pengantar utama, bahasa perpaduan, dan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari pada peringkat sekolah. Mata pelajaran bahasa Melayu bertujuan untuk melengkapkan murid dengan ketrampilan berbahasa dan berkomunikasi selaras dengan peranannya sebagai bahasa ilmu. Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah merangkumi penggunaan bahasa yang menekankan kemahiran bahasa serta berteraskan bahasa Melayu baku.
Pada 22 Jun 1999, Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa semua pelajar sekolah menengah aliran sains, sastera, teknik, vokasional dan agama diwajibkan mempelajari kesusasteraan Melayu (lampiran 1) dan kesusasteraan Inggeris (lampiran 2). Bagi memastikan semua pelajar sekolah menengah rendah dan atas mempelajari kesusasteraan, maka penggunaan karya sastera diwajibkan sebagai komponen dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Sebelum komsas dilaksanakan, pelajar sudah didedahkan dengan unsur dan bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Namun, keberkesanannya dalam aspek penghayatan nilai tidak membanggakan. Hal ini demikian kerana pengajaran dan pembelajaran menjurus kepada aspek input bahasa semata-mata. Aspek nilai estetik, keindahan bahasa, dan sosiobudaya yang tergarap dalam karya yang digunakan itu tidak diberikan tumpuan. Sebaliknya, melalui komsas, aspek-aspek tersebut diberikan penekanan di samping untuk meningkatkan keupayaan pelajar berbahasa.
Tumpuan kepada pembelajaran bahasa sahaja tidak memadai kerana pelajar mungkin dapat menguasai bahasa dengan baik dari aspek tatabahasa, tetapi dalam aspek keindahan bahasa, diksi, daya intelek, daya kreatif dan seumpamanya dapat dikuasai melalui ilmu sastera. Atas dasar itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah tidak memisahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa dan sastera.
1.3 Definisi Konsep

Perancangan (Kamus Dewan 1996:1097) membawa maksud usaha atau tindakan yang dilakukan atau merancang sesuatu. Ditinjau dari sudut sosiolinguistik perancangan yang berkaitan dengan perancangan bahasa ialah usaha yang disengajakan atau bersungguh-sungguh untuk mempengaruhi pelakuan orang lain tentang pemerolehan, struktur atau penentuan fungsi bahasa. Secara biasanya ia melibatkan pembinaan matlamat, objektif dan strategi untuk merubah cara bagaimana bahasa digunakan. Pada peringkat kerajaan perancangan bahasa melibatkan penubuhan dasar bahasa.
Manakala komponen (1996: 697) bermaksud menjadi sesuatu bahagian. Sastera (1996:1194) berkaitan dengan keindahan bahasa. Kesusasteraan (1996:1194) ialah hasil seni atau karya dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Komsas ialah proses akronim daripada perkataan ‘komponen’ dan ‘sastera’. Dalam hal ini, komponen sastera merujuk kepada pemilihan dan penggunaan karya-karya sastera tertentu yang diserapkan penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.
Estetik (1996: 345) pula ialah berkaitan dengan sesuatu keindahan. Menurut Jan Mukarrovsky (dalam Paul L. Garvin, 1964), pertimbangan-pertimbangan estetik dalam bahasa bersifat normatif. Sehubungan dengan itu, yang dimaksudkan dengan estetik bahasa lebih berkaitan dengan pemantapan dan penyempurnaan bahasa yang digunakan. Maksudnya, bahasa yang digunakan biar dalam laras bahasa apa pun tidak cukup dengan hanya menggunakan istilah dan tatabahasa yang betul sahaja, tetapi seharusnya dapat memancarkan kejituan bahasa.

1.4 Batasan Kajian

Kajian ini hanya menumpukan kepada perancangan bahasa yang berkaitan dengan komponen sastera dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu sekolah menengah. Perbincangan tertumpu kepada latar belakang, pemilihan teks, matlamat, objektif, isu-isu dan cabaran, hasil pembelajaran dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran komponen sastera yang menjurus kepada estetik bahasa Melayu.

1.5 Kaedah Kajian
Kaedah kajian ini hanya menggunakan kaedah kepustakaan. Dalam hal ini, buku, sukatan dan huraian pelajaran, jurnal, laporan kajian, surat pekeliling dan laman web berwibawa dirujuk dan dianalisis.


2.0 PERANCANGAN BAHASA: KOMPONEN SASTERA

2.1 Latar Belakang dan Sejarah Perancangan

Mesyuarat Jemaah Menteri Bil.4/99 bertarikh 24 Februari 1999 mencadangkan supaya komponen kesusasteraan Melayu dimasukkan dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tingkatan 1 hingga 5. Gesaan ini telah diterima oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) , Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mencadangkan supaya kesusasteraan Melayu diperkenalkan sebagai satu komponen wajib dalam mata pelajaran bahasa Melayu sekolah menengah. Cadangan ini telah diluluskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.2/99 pada 11 Jun 1999. Komponen Sastera (komsas) dimasukkan dalam pengajaran bahasa bagi mencapai matlamat pembinaan insan yang positif terhadap ilmu dalam kehidupan.
Pelaksanaan komponen sastera dalam mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah menengah telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai Mac 2000 bagi tingkatan 1 dan 4, tahun 2001 untuk tingkatan 2 dan 5 serta tingkatan 3 pada tahun 2002. Ini merupakan lanjutan daripada pendekatan menggunakan unsur-unsur sastera dan bahan-bahan sastera yang diperkenalkan sejak tahun 1984.

2.2 Pihak Berkuasa Perancang

Pihak yang bertanggungjawab merancang penggunaan komponen sastera ialah Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Sementara itu, unit yang dipertanggunjawabkan dalam penerbitan dan pengedaran buku-buku teks tersebut ialah Bahagian Buku Teks, dan disokong penerbitan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit-penerbit yang berdaftar dengan kementerian.

2.3 Bahan / Genre Komponen Sastera

Berdasarkan kepada ketetapan yang dinyatakan dalam surat pekeliling, iaitu;
2.3.1 Satu novel daripada 4 judul yang ditetapkan. Ini bermakna seorang pelajar hanya wajib membaca dan mempelajari satu novel sahaja bagi setiap tingkatan
2.3.2 Satu teks antologi yang mengandungi 6 cerpen, 3 drama, 6 puisi moden(sajak), 6 puisi tradisional, dan 4 prosa tradisional.

Senarai penuh teks-teks komponen sastera pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam Jadual 1 dan Jadual 2 di sebelah;

Jadual 1
Teks Komponen Sastera Bagi Menengah Rendah
Genre Tingkatan 1
Novel
1. Meniti Kaca (Raja Sabarudin R.Abdullah)
2. Anak Din Biola (Maaruf Mahmud)
3. Aku Anak Timur (Siti Aminah HjYusuf)
4. Limpahan Darah Di Sungai Semur (Zakaria Salleh)

Tingkatan 2
1. Pahlawan Pasir Salak (Mohd.Ismail Sarbini)
2. Tragedi Empat Disember (Dzul Karnain Ithnin)
3. Timulak Kapal Perang (Azmah Nordin)
4. Kapten Hassan Wira Bangsa (Harun Johari)

Tingkatan 3
1. Konserto Terakhir (Abdullah Hussain)
2. Seteguh Karang (Tuan Faridah Tuan Abdullah)
3. Di Hadapan Pulau (A. Samad Said)
4. Bukit Kepong (Ismail Johari)

Drama
1. Baju Emas Sang Maharaja (Johan Jaafar)
2. Bila Retak Kota Melaka (Aziz Jahpin)
3. Jerat (Ria Asmira)

1. Penunggu Pusaka (Zakaria Ariffin)
2. Angin (Baharuddin Razak)
3. Buyung (Jahara Alias)

1. Asar Belum Berakhir (A.RahimAbdullah)
2. Adik Berjasa (A.Rahman Hanafiah)
3. Jalan Sempit (Amelia Hashim)

Puisi (Moden)
Sajak
1. Negeri Cinta (Nahmar Jamil)
2. Seorang Guru Tua (Gunawan Mahmood)
3. Surat Dari Kampus (Nawawee Muhammad)
4. Puisi Buat Mama (Adi Badiozaman Tuah)
5. Tasik Biru, Bau, Sarawak (Kemala)
6. Burung Tempua (Abdul Hadi Yusof)

1. Mata Ayah (Usman Awang)
2. Seuntai Kata untuk Dirasa (A. Samad Said)
3. Bicara Buat Guru (Mohd.Ridzuan Harun)
4. Pesan Tangan kepada Jari (Hilmi Rindu)
5. Cinta (Awang Abdullah)
6. Ruang (Ahmad Razali Hj.Yusuf)

1. Bahasa (Rahman Shaari)
2. Rumah Baru (Haron A.H)
3. Bila Berjauhan (A.Wahab Ali)
4. Ketika Kami Bercerita Tentangnya (Lim Swee Tin)
5. Usia (Siti Zainon Ismail)
6. Wanita Zaman Ini (Aladin Mohamad)

Puisi Tradisional
1. Pantun Dua Kerat
2. Pantun Budi
3. Pantun Kanak-kanak
4. Syair Badrul Zaman
5. Syair Ken Tambahan
6. Syair Menyambut Pelajaran

1. Pantun Perpisahan
2. Pantun Joget Pahang
3. Pantun Teka-teki (Iladam)
4. Syair Pesanan Ibu
5. Syair Nur Alam Shah Lela Putra
6. Syair Mungkir Janji

1. Pantun Budi
2. Pantun Mengenang Nasib
3. Pantun Peribahasa
4. Syair Cinta Alam Sekitar
5. Syair Yatim Nestapa
6. Syair Tenaga Pemuda

Prosa Tradisional
1. Lebai Malang (Jenaka)
2. Tujuh Puteri Turun ke Dunia (Penglipurlara)
3. Susur Galur Asal-usul Negeri Melaka
4. Keberanian Lima Bersaudara (Epik)

1. Pak Kadok
2. Puteri Besar lahir ke Dunia
3. Puteri Buluh Betung
4. Cerita Kera dengan Buaya

1. Pak Belalang
2. Hang Tuah Mengalah Tamingsari
3. Raja Bersiung
4. Patung Kencana dari Kuripan


Jadual 2
Teks Komponen Sastera Bagi Menengah Atas
Genre Tingkatan 4

Novel
1. Terminal Tiga (Othman Puteh)
2. Perlumbaan Kedua (Marwilis Hj. Yusuf)
3. Di Hadapan Pulau (A.Samad Said)
4. Bukit Kepong (IsmailJohari)

Tingkatan 5
1. Konserto Terakhir (Abdullah Hussain)
2. Seteguh Karang (Tuan Faridah Syed Abdullah)
3. Julia (Abu Hassan Morad)
4. Putera Gunung Tahan (Ishak Haji Muhammad)

Drama
1. Serunai Malam (Usman Awang)
2. Titik-titik Perjuangan (Kala Dewata)
3. Sri Nara (Shaharom Hussain)
1. Jangan Bunuh Ramarama (Noordin Hassan)
2. Puteri Li Po (Rahmah Bujang)
3. Kerusi (Hatta Azad Khan)

Puisi (Moden)
Sajak 1. Aku Menjadi Lebih Berani (Latifah Haji Shebli)
2. Anak Laut (Rahimidin Zahari)
3. Derita Pertama (Suhaimi Haji Muhamad)
4. Jalan-jalan Raya Kotaku (Zam Ismail)
5. Manusia dan Kesejahteraan (Salmi Manja)
6. Pembeli Masa Sudah (T.Alias Taib)

1. Tukang Gunting (T.Alias Taib)
2. Keindahan yang Hilang (Shamsuddin Jaapar)
3. Di Kota Kecilku (Baha Zain)
4. Sejarah Melayu (Muhammad Hj. Salleh)
5. Duhai Pentafsir (Zurinah Hassan)
6. Di Ruang Gemanya (Dharmawijaya)

Puisi Tradisional
1. Pantun Nasib
2. Pantun Kiasan
3. Syair Pembunuhan Angreni
4. Syair Dandan Setia dan Intan Terpilih
5. Gurindam Baris Hadapan
6. Seloka Pak Kadok

1. Pantun Enam Kerat
2. Pantun Lapan Kerat
3. Syair Jong Pecah
4. Syair Kelebihan Ilmu
5. Gurindam Memelihara Anggota dan Hati daripada Kejahatan
6. Seloka Pandai Pak Pandir

Prosa Tradisional
1. Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya
2. Peminangan Puteri Gunung Ledang
3. Pertarungan Jebat dan Tuah
4. Sikap Terburu-buru Akan Membawa Padah

1. Sabor
2. Kezaliman Membawa Padah
3. Asal-usul Raja Kecil
4. Kepahlawanan Tun Berahim Bapa


3.0 MATLAMAT, OBJEKTIF DAN HASIL PEMBELAJARAN KOMPONEN
SASTERA

3.1 Matlamat
“Matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah menengah
adalah untuk melengkapkan murid dengan ketrampilan berbahasa
dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri dalam bidang
pendidikan, pekerjaan, dan urusan harian.”
(Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
KBSM 2000: 2)
Berdasarkan matlamat utama perancangan bahasa Melayu sekolah menengah di atas dan berpaksikan Falsafah Pendidikan Negara, diperjelaskan dengan lebih teliti matlamat komponen sastera;
3.1.1 melahirkan pelajar yang kreatif dan kritis,
3.1.2 meningkatkan kekuatan rohani dan intelek,
3.1.3 memupuk kesedaran terhadap nilai estetika karya dan keindahan bahasa,
3.1.4 mengenali dan mengurus perasaan pelajar, dan
3.1.5 meningkatkan kemahiran intrapersonal dan interpersonal.
3.2 Objektif

Dalam buku Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan terdapat 6 objektif utama terhadap perancangan bahasa untuk proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah menengah. Pada akhir pengajaran dan pembelajaran kurikulum Bahasa Melayu sekolah menengah murid dapat:
3.2.1 melibatkan diri dalam interaksi sosial melalui perbualan, perbincangan, dan penulisan untuk menjalin serta mengeratkan hubungan, dan berurus untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan;
3.2.2 mendapat dan memproses maklumat secara kritis daripada pelbagai sumber yang didengar, dibaca, dan ditonton untuk memperoleh ilmu dan maklumat;
3.2.3 menggunakan maklumat yang diperoleh untuk tujuan menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, serta menyebarkan maklumat dalam bentuk lisan dan tulisan;
3.2.4 mendengar, membaca, menonton, dan memberikan respons kepada pelbagai bahan sastera dan bukan sastera;
3.2.5 melahirkan idea dan pendapat dalam bentuk lisan dan penulisan secara kreatif dan berkesan; dan
3.2.6 menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotik, dan perasaan cinta akan negara.
Namun jika diteliti terdapat 3 objektif yang merujuk secara khusus melibatkan komponen sastera secara jelas iaitu; 3.2.4; 3.2.5; dan 3.2.6

3.3 Tujuan Komponen
Komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu adalah bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan minat membaca di kalangan pelajar, serta memperkukuhkan kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis, iaitu;
3.3.1 Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan.
3.3.2 Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan murid menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.
3.3.3 Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.


3.3.4 Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan untuk menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan ilmu dan imaginatif.

Di samping itu, pengajaran komponen kesusasteraan Melayu diharap dapat menyumbang kepada pembentukan sahsiah, peluasan pengetahuan dan persepsi pelajar, serta meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang kemanusiaan, kemasyarakatan dan budaya.

3.4 Hasil Pembelajaran

Hasil pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan hasil pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang apa yang boleh dicapai oleh murid. Oleh itu, hasil pembelajaran memerlukan pendekatan yang berfokus pada gaya pembelajaran murid. Justeru, hasil pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan berkesan.



Selain itu, hasil pembelajaran juga membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian murid. Terdapat dua hasil pembelajaran dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu, iaitu Hasil Pembelajaran Utama dan Hasil Pembelajaran Khusus . Hasil Pembelajaran Utama dapat dicapai dengan menguasai Hasil Pembelajaran Khusus.
Hasil pembelajaran menjadi teras kepada pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Hasil pembelajaran dibina dengan menyepadukan penggunaan bahasa, kemahiran bahasa, sistem bahasa, komponen kesusasteraan Melayu, dan pengisian kurikulum. Selain itu, kemahiran menonton wajar diberikan perhatian selaras dengan keperluan bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Hasil pembelajaran yang dapat dicapai, iaitu;
I. Bidang Interpersonal,
II. Bidang Maklumat, dan
III. Bidang Estetik

I. Hasil Pembelajaran Bidang Interpersonal
Bidang Interpersonal berfokus pada keupayaan murid berkomunikasi berasaskan bahasa dengan menggunakan kata, frasa, rangkai kata, ungkapan, dan ayat yang betul dan tepat secara bertatasusila. Bidang ini juga bertujuan untuk mengekalkan hubungan dengan rakan rapat atau orang lain melalui perkongsian idea semasa berinteraksi sosial atau berurus bagi tujuan komersial. Hasil Pembelajaran Utama dan Hasil Pembelajaran Khusus yang boleh dicapai oleh murid dalam Bidang Interpersonal ialah berinteraksi, memberikan pendapat, berunding, membuat pertimbangan, memujuk, dan berurus untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan.
1.0 Berinteraksi untuk menjalin dan mempererat hubungan mesra
2.0 Memberikan pendapat yang bernas sebagai sumbangan dalam perbincangan
3.0 Berunding secara santun untuk mendapat persetujuan dan kata sepakat
4.0 Membuat pertimbangan untuk mencapai keputusan
5.0 Memujuk untuk mempengaruhi pihak lain untuk melakukan sesuatu
6.0 Berurus dengan pihak tertentu untuk mendapatkan barangan dan
perkhidmatan

II. Hasil Pembelajaran Bidang Maklumat
Bidang Maklumat berfokus pada keupayaan murid memperoleh dan menyampaikan pelbagai pengetahuan dalam bidang ilmu. Pemerolehan maklumat didapati melalui aktiviti mendengar, berbual, membaca, serta mengakses maklumat daripada multimedia. Hasil Pembelajaran Utama dan Hasil Pembelajaran Khusus yang dapat dicapai oleh murid dalam Bidang Maklumat ialah mendapat, memproses, dan menyampaikan maklumat.
7.0 Mendapat maklumat daripada pelbagai sumber yang didengar, dibaca, dan ditonton
8.0 Memproses maklumat untuk keperluan tertentu
9.0 Menyampaikan maklumat untuk tujuan tertentu
Hasil pembelajaran bidang interpersonal dan maklumat tidak diperincikan dalam kajian ini kerana tumpuan kepada bidang estetik.

3.4.3 Hasil Pembelajaran Bidang Estetik
Bidang Estetik berfokus pada keupayaan murid menguasai aspek kebahasaan, keindahan, dan kehalusan bahasa. Bidang Estetik juga mementingkan penikmatan hasil karya yang indah, pelahiran perasaan, membuat apresiasi, dan penghayatan. Hasil Pembelajaran Utama dan Hasil Pembelajaran Khusus yang perlu dicapai oleh murid dalam Bidang Estetik ialah memahami, menguasai, dan menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif.

10.0 Memahami dan memberikan respons peribadi tentang karya sastera
10.1 Menceritakan semula sesebuah karya secara keseluruhan.
10.2 Mengenal pasti perkara yang menarik dalam sesebuah karya
10.3 Menyatakan bentuk dan nada puisi.
10.4 Menyatakan jenis, ciri, tema dan persoalan, pemikiran, nilai, dan pengajaran.
10.5 Menghuraikan maksud, gaya bahasa, dan unsur bunyi dalam puisi.
10.6 Mengulas karya sastera dari aspek watak dan perwatakan, latar, plot, gaya bahasa,
dan sudut pandangan.

11.0 Menguasai gaya bahasa dan laras bahasa dalam karya penulisan kreatif dan bukan kreatif
11.1 Mengenal pasti gaya bahasa dalam karya bukan sastera serta menggunakannya
dalam penulisan bukan kreatif.
11.2Menganalisis gaya bahasa dan unsur bunyi dalam karya sastera serta
menggunakannya dalam penulisan kreatif.
11.3 Membandingkan penggunaan laras bahasa dalam pelbagai

12.0 Menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif
12.1 Menghasilkan prosa dan puisi secara terancang, tertib, dan kemas dengan
menggunakan bahasa yang tepat, indah, dan menarik.
12.2 Mengemukakan isi yang bernas dan membina kerangka penulisan.
12.3 Membina ayat topik dan ayat huraian untuk membina perenggan yang kohesif.
12.4 Menyusun isi dan menggunakan penanda wacana untuk menghasilkan perenggan
yang koheren.
12.5 Membina baris puisi dengan kemas dan indah.
12.6 Mengedit dan memurnikan sesuatu karya yang telah dihasilkan.


4.0 PENDEKATAN PENGAJARAN YANG SESUAI DAN KEBERHASILAN

4.1 Pendekatan Yang Sesuai

Berdasarkan teori-teori pemerolehan dan pembelajaran bahasa, Kamarudin Hj. Husin (1988:78) mengemukakan empat jenis pendekatan yang dapat digunakan untuuk pengajaran bahasa, iaitu;
4.1.1 Pendekatan induktif,
Pendekatan ini menggunakan kaedah pencarian atau penemuan (discovery method) yang melibatkan proses memerhati, mengkaji, menganalisis sesuatu aspek bahasa iaitu pada awal pembelajaran dan kemudian membentuk satu kesimpulan umum daripada data-data yang dipelajari itu. Guru tidak digalakkan memberi definisi, menerangkan peraturan, menerangkan isi atau kandungan keseluruhan pelajaran yang hendak disampaikan, atau memberitahu objektif pengajaran pada awal pengajaran. Guru boleh mengemukakan soalan-soalan, bertanya, berbincang, memerhati, mengkaji, memberi contoh-contoh dan sebagainya. Pada akhir pelajaran, guru membuat generalisasi.
4.1.2 Pendekatan deduktif,
Pendekatan ini dimulakan dengan melihat hukum atau mempelajari peraturan tertentu. Pembelajaran akan diteruskan dengan menganalisis hukum tadi melalui contoh-contoh atau mengaplikasikan peraturan yang telah diberikan. Dengan kata lain, guru dibenarkan memberi definisi, menerangkan peraturan, isi, dan kandungan keseluruhan pelajaran yang hendak disampaikan atau memberitahu objektif pengajaran pada bahagian awal pengajaran.

4.1.3 Pendekatan elektif,
Pendekatan ini pula merupakan satu pendekatan yang diwujudkan sebagai hasil gabungan dua atau beberapa pendekatan. Pendekatan ini menggabungkan segala ciri baik yang terdapat dalam pendekatan-pendekatan tersebut untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran tertentu. Pengambilan ciri yang baik daripada beberapa pendekatan ini bertujuan untuk menghasilkan satu strategi pengajaran dan pembelajaran yang lebih seimbang, berfaedah, dan berkesan. Pendekatan ini sesuai untuk kelas yang terdiri daripada pelajar yang mempunyai pelbagai kebolehan. Sifatnya yang mudah diubah itu, memudahkan guru mentadbir pengajaran mereka di samping dapat memberikan beberapa banyak contoh dan penerangan yang dapat meningkatkan pemahaman pelajar.
4.1.4 Pendekatan komunikatif.
Pendekatan komunikatif mengutamakan kecekapan berkomunikasi. Pengajaran bahasa mestilah merangkum kecekapan bahasa yakni pennguasaan system tatabahasa serta kecekapan berkomunikasi. Kecekapan yang pertama membolehkan seseorang pelajar menggunakan bahasa yang sesuai dengan khalayak yang dihadapinya.(Juriah et al. 1993:50)

4.2 Kepentingan Komponen Sastera

Menurut Dr. Lim Swee Tin, terdapat 10 kepentingan komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu;
4.2.1 mengukuhkan penguasaan bahasa di kalangan pelajar melalui penghayatan dan pengajian karya-karya sastera iaitu daripada segi kejelasan makna dalam penggunaan sebbenar,
4.2.2 membudayakan karya-karya sastera kepada pelajar-pelajar dan masyarakat,
4.2.3 mendorong dan menggalakkan terhasilnya pemikiran kreatif dan kritis para pelajar,
4.2.4 mengangkat karya kesusasteraan seiring dengan tuntutan ketika ini,
4.2.5 membina dan mengukuhkan perpaduan dan intergrasi nasional kerana karya sastera dan apresiasinya merentasi kehidupan,
4.2.6 membina jati diri bangsa melalui karya-karya agung berlatar belakang sejarah dan keagungan agama dan bangsa,
4.2.7 menyemai nilai-nilai sejagat iaitu kemanusiaan, kemasyarakatan, kepercayaan kepada keesaan pencipta,
4.2.8 mencetus minat dan keberanian di kalangan para pelajar untuk melahirkan pendapat yang bernas dan jitu dengan hujah-hujah,
4.2.9 mendorong pelajar menggemari seni dan keindahan yang halus dan kreatif, yang boleh membentuk perwatakan manusia, dan
4.2.10 memupuk budaya membaca di kalangan para pelajar dan masyarakat di negara ini.

5.0 ISU DAN CABARAN

5.1 Pemilihan Bahan Sumber /Genre

Isu karya Sasterawan Negara yang tidak tersenarai sebagai antara buku yang dicadangkan untuk teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010 hangat didebatkan baru-baru ini. Turut tidak tersenarai ialah puisi, cerpen, novel dan drama penerima Anugerah Penulisan SEA dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta.
PPK yang menyelenggara Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas mengatakan karya SN berat dan sarat dengan pemikiran sehingga sukar difahami pelajar. Justeru mereka mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar dalam usaha menarik minat mereka dalam komsas.
PPK menyatakan bahawa pemilihan teks komponen sastera dalam bahasa Melayu (Komsas) belum muktamad bagi kegunaan tahun 2010 dan masih dalam proses pemilihan. Pemilihan teks komsas yang sedang dilaksanakan pada tahun 2007/08 bertujuan untuk menggantikan teks komsas yang diguna pakai dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi kedua-dua mata pelajaran terlibat. Usaha ini dilakukan kerana tempoh teks komsas dan yang digunakan sudah lapan tahun.
Selanjutnya, terdapat beberapa perkara dasar yang diberi pertimbangan oleh PPK semasa proses pemilihan teks dilaksanakan. Antara pertimbangan yang diambil kira adalah bahan, karya, teks, dan buku yang dipilih mesti selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Kurikulum Kebangsaan, Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu.
5.2 Pihak Berkuasa Perancang

Pusat Perkembangan Kurikulum telah dipertanggungjawabkan untuk memberi pendedahan seperti bengkel, kursus dan seminar tentang komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu kepada guru-guru. Namun, masih wujud lagi permasalahan dalam pelaksanaannya.

5.3 Guru

Sudah hampir sedekat komponen sastera diperkenalkan, namun masih ada kalangan guru yang menghadapi pelbagai masalah dalam mengajarkan komponen sastera. Masih ada lagi guru bahasa Melayu yang kabur dan keliru untuk melaksanakan program ini.
Menurut Zahirah Aziz dan Kamaruzaman Abdullah dalam satu seminar “Pengajaran KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu” (2001) telah dikenal pasti beberapa masalah yang dihadapi oleh para guru, iaitu guru tidak mahir dengan istilah sastera sehingga mengganggu kelancaran pengajaran dan pembelajaran. Guru menjadi serba salah dalam menilai sudut sastera untuk komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan bimbang ia menjadi subjek kesusasteraan Melayu (Elektif) pula. Menurut Mohd. Kasim Ismail (1995), kekeliruan ini menyebabkan tumpuan pengajaran guru kepada tema, plot, watak dan latar.
Senario sebenar di sekolah memperlihatkan kepelbagaian latar belakang pendidikan guru yang diberi tanggungjawab mengajarkan mata pelajaran bahasa Melayu. Menurut Salbiah Ani (2001) ada guru yang tidak mempunyai latar belakang kesusasteraan Melayu sekalipun mereka terlatih dalam pengajaran bahasa Melayu ketika menuntut di pusat pengajian tinggi atau di maktab-maktab perguruan. Kedapatan juga guru yang langsung tidak mempunyai latar belakang pendidikan bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu dipertanggungjawabkan mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dengan alasan mereka orang Melayu.
Abd. Razak dan rakan (1978) telah mendedahkan keadaan yang membimbangkan. Mereka mendapati kebanyakan guru yang mengajarkan mata pelajaran bahasa Melayu tidak mendapat latihan khas untuk mengajar bahasa, malah kedapatan guru-guru yang tidak mempunyai kemahiran dalam bahasa Melayu telah ditugaskan mengajarkannya. Lebih membimbangkan, guru yang mempunyai latar belakang pendidikan kesusasteraan sendiri tidak memahami konsep komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu kerana mereka menekankan tema, persoalan, watak, plot dan gaya bahasa ketika mengajarkan komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu yang tiada perbezaan dengan mata pelajaran kesusasteraan Melayu (Elektif).

5.3.1 Kajian Kes
Kajian ini bertujuan untuk melihat pemahaman guru tentang konsep komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu (komsas) di beberapa buah sekolah menengah di Daerah Larut, Matang dan Selama. Kajian ini melibatkan 100 orang guru yang mengajarkan mata pelajaran bahasa Melayu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kefahaman guru tentang konsep komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu ini agak berbeza jika diperinci satu demi satu item yang berkaitan. Ini kerana 26 peratus guru masih lagi tidak dapat membezakan antara komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu dengan kesusasteraan Melayu (Elektif) dan 24 peratus mengatakan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (Edisi Penyesuaian) tidak dapat memberi gambaran yang jelas tentang skop komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Borhan (2000), iaitu selain pengetahuan dan kemahiran, guru komsas juga didapati masih keliru tentang tanggapan dan kefahaman mengenai pengajaran komsas dalam bahasa Melayu. Terdapat guru yang kurang jelas, sama ada hendak mengajar bahasa Melayu atau kesusasteraan Melayu. Kesilapan pemahaman tentang konsep komsas dalam bahasa Melayu dengan kesusasteraan Melayu akan menyebabkan berlakunya kesilapan pengajaran.
Selain itu, 12 peratus lagi guru menyatakan pendedahan komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu tidak boleh meningkatkan penguasaan bahasa pelajar. Manakala, 88 peratus responden menyatakan komsas boleh meningkatkan penguasaan bahasa pelajar. Kenyataan ini selari dengan pendapat Burke dan Brumfit (1991) yang menjelaskan tujuan pengajaran bahasa dengan menggunakan bahan sastera ialah memberi mereka kemahiran seperti kemahiran lisan, membina analisis dan kritikal, kemahiran sosial, menggunakan imaginasi, pembinaan sikap, amalan efektif dan menyampaikan maklumat. Pendapat Rahman Shaari (1989) menguatkan lagi kenyataan ini. Beliau menyatakan penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa Melayu membolehkan pelajar menguasai kecekapan berbahasa, ketepatan berkomunikasi, di samping memahami sistem bahasa Melayu sebagai alat perhubungan. Pendapat Samat Buang (1996) turut menyokong kenyataan tersebut. Beliau berpendapat bahawa penggunaan bahan sastera dapat mengukuhkan penguasaan bahasa dan meningkatkan kecekapan berbahasa pelajar melalui pembacaan, pemahaman dan penaakulan mesej yang tersurat dan tersirat.
Dapatan kajian ini juga menunjukkan sebanyak 74 peratus guru menyatakan komponen kesusasteraan dalam mata pelajaran bahasa Melayu menggalakkan pelajar menghasilkan penulisan yang baik manakala 26 peratus lagi menyatakan sebaliknya. Kenyataan ini selari dengan kajian Noor Zalilah (1990) yang telah membuktikan kelebihan penguasaan berbahasa pelajar. Hasil kajian beliau mendapati melalui penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa pelajar dapat menggunakan pelbagai jenis ayat secara gramatis dalam penulisan karangan berbentuk kreatif dan fakta serta mampu mengajar pelajar dari aspek gaya bahasa dan seterusnya dapat membina penguasaan berbahasa pelajar. Evans dalam Koh Boh Boon, 1994 turut menyokong pendapat ini dengan menekankan bahawa dengan mendedahkan kepada pelbagai jenis bahan sastera dapat meluaskan perbendaharaan kata pelajar, membaiki kemahiran bertutur dan menulis mereka.
Kajian ini juga mendapati sebanyak 25 peratus guru tidak mampu merancang kemahiran bahasa dalam komponen kesusasteraan Melayu dalam bahasa Melayu. Hal ini bertepatan dengan dapatan Osman Alauddin (1995) dan Roshani (1992) yang menyatakan ramai guru sukar merancang dan melaksanakan pengajaran yang berkesan kerana kurang jelas tentang konsep. Walau bagaimanapun, perhatian perlu diberi kepada usaha membaca teks wajib di luar masa pengajaran. Ini kerana kajian mendapati 43 peratus guru memperuntukkan waktu pengajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu sebagai masa untuk pelajar-pelajar membaca teks wajib.

5.4 Pelajar

Timbul kerisauan kepada kalangan guru, ibu bapa, pencinta sastera dan bahasa bahawa para pelajar mempelajari komponen sastera setakat untuk menghadapi peperiksaan, bukan penghayatan dan penguasaan nilai, keindahan dan kesempurnaan bahasa. Pelajar beranggapan bahawa karya sastera agak membosankan dibandingkan dengan cara hidup para pelajar sekarang yang lebih cenderung mendampingi komputer dan internet, iaitu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kemungkinan ini berlaku kerana pelajar tidak membaca karya komponen sastera terlebih dahulu. Dikhuatiri langkah ini akan menyebabkan objektif komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu untuk meningkatkan dan mengukuhkan minat membaca tidak akan tercapai.


5.5 Peperiksaan Dalaman (sekolah) dan Awam

Penaksiran pada peringkat sekolah ialah ujian dan peperiksaan yang dikendalikan secara dalaman iaitu meliputi ujian pengajaran dan pembelajaran, ujian bulanan dan penggal.
Pada peringkat pusat ialah:
i. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai pada Tahun 2001.
ii. Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai pada Tahun 2002.
5.6 Latihan dan Kursus Pendedahan

Kementerian Pelajaran Malaysia memandang berat terhadap kelangsungan penyampaian ilmu pengetahuan kepada para pelajar. Ini bertujuan untuk memastikan bidang pendidikan tuntas melahirkan generasi masa depan yang mendokong Wawasan 2020 dan pembangunan masyarakat dan negara.
Dalam hal perancangan dan pelaksanaan komponen sastera ini, cara penyampaian, mekanisme dan pemantauannya sentiasa diteliti. Kementerian sebagai autoriti menurunkan kuasa kepada Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK) mengkoordinasi pelaksanannya, Jemaah Nazir Sekolah diberi kuasa memantau pelaksanaan dan Bahagian Buku Teks menyediakan bahan sumber untuk pengajaran dan pembelajaran.
Di samping itu, diwujudkan jawatankuasa kurikulum yang melibatkan jabatan pendidikan, pejabat-pejabat pendidikan dan sekolah untuk menyelaras segala urusan kursus, latihan dan perbincangan dalam perkhidmatan untuk mendedahkan, membantu dan memantapkan pendekatan, teknik dan penyampaian guru-guru. Antara pewujudan mekanisme tersebut, iaitu;
5.6.1 Jurulatih Kebangsaan,
5.6.2 Jurulatih Utama,
5.6.3 Penyelia kurikulum,
5.6.4 Guru Cemerlang,
5.6.5 Guru Pakar, dan
5.6.6 Panitia subjek.


6.0 RUMUSAN DAN CADANGAN

6.1 Kesimpulan

Pelaksanaan komponen sastera adalah merupakan suatu langkah yang bijak dan tepat kerana karya sastera berperanan sebagai sumber data bagi penyusunan tatabahasa, pertumbuhan tradisi persuratan, sumber data perkamusan, pengucapan retorik, pelahiran ilmu, estetik dan bahan pengajaran dan pembelajaran bahasa.

6.2 Cadangan

Penulisan kreatif yang menekankan penghasilan karya bolehlah dijadikan salah satu aspek dalam peperiksaan awam, sama ada Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Penghasilan karya ini bolehlah meliputi genre seperti pantun, syair, sajak, cerpen dan drama. Manakala penulisan novel oleh pelajar boleh dianugerahi dengan kategori yang bersesuaian, selaras dengan kempen Bulan Bahasa dan Bulan Sastera Negara (BBSN) yang dikemukakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.

BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan. 1987. Isu-Isu Pembelajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Jurnal Kongres Bahasa http://www.kongresbahasa.org/?page_id=28 05 APRIL 2008

Kamus Dewan(Edisi Ketiga). 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
N.S. Rajendran .2005. Kesusasteraan Sebagai Wahan Mengajar Kemahiran Berfikir Aras Tinggi http://apps.emoe.gov.my/ipba/rdipba/cd1/Article85 (5 April 2008)

Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK). 2000. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM. Kuala Lumpur. Kementerian Pelajaran Malaysia

Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK). 2000. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM Tingkatan 1. Kuala Lumpur. Kementerian Pelajaran Malaysia

Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK). 2000. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM Tingkatan 2. Kuala Lumpur. Kementerian Pelajaran Malaysia

Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK). 2000. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM Tingkatan 3. Kuala Lumpur. Kementerian Pelajaran Malaysia

Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK). 2000. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM Tingkatan 4. Kuala Lumpur. Kementerian Pelajaran Malaysia
Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK). 2000. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM Tingkatan 5. Kuala Lumpur. Kementerian Pelajaran Malaysia

Samat Buang. 1996. Pendekatan, Kaedah dan Teknik dalam Pendidikan Bahasa Melayu Menggunakan Bahan Sastera. Jurnal Dewan Bahasa 40: Bil.3 Mac halaman 205 – 221

Thahir Nurudin .2007. Kefahaman Guru Tentang Konsep Komponen Kesusasteraan Melayu Dalam Mata pelajaran Bahasa Melayu http://www.google.com.my/search/q=komsas (5 April 2008)

No comments:

Post a Comment