Monday, August 30, 2010

Proses Mental Seseorang Semasa Menghasilkan Pertuturan

Pendahuluan
Perkataan proses dalam Kamus Dewan (1996:1058) merujuk kepada satu siri perubahan yang berlaku secara semula jadi. Sementara perkataan mental (1996: 880) ialah berkaitan dengan atau melibatkan akal, pemikiran atau proses intelektual. Proses mental bolehlah dikatakan satu perubahan semulajadi yang melibatkan otak manusia berkaitan sesuatu perkara. Manakala dalam Kamus Linguistik(1997: 189) menjelaskan bahawa pertuturan ialah proses atau hasil pengeluaran bunyi bermakna yang berkontinum dalam sesuatu bahasa. Terdapat proses-proses yang serentak berlaku dalam otak manusia ketika penghasilan pertuturan atau percakapan. Apakah proses-proses mental yang berlaku ?
Pendefinisian di atas bolehlah dirujuk kepada maksud penghasilan percakapan. Dr. Noor Aina Dani dalam buku Penghantar Psikolinguistik (2007:133) menyatakan penghasilan percakapan;

“Penghasilan percakapan mengkaji segala proses yang berlaku
ketika seseorang itu cuba bertutur. Dalam percubaan ini, semua operasi
pemahaman – fonologi, sintaksis, semantik, dan penyuntingan sosial
mesti dilaksanakan. Kali ini susunan komponen tatabahasanya berbeza,
iaitu operasi semantik, operasi sintaksis dan operasi fonologi.”


Proses Mental
Ketika seseorang menghasilkan percakapan atau pertuturan, melibatkan dua dimensi umum iaitu, proses mental seseorang penutur dan ada pihak pendengar yang melibatkan proses komunikasi dalam rantai pertuturan (speech chain). Proses mental yang berlaku ketika seseorang menghasilkan percakapan atau pertuturan melalui proses operasi semantik, operasi sintaksis dan operasi fonologi.
Dalam menghasilkan percakapan atau pertuturan melibatkan dua aktiviti utama iaitu perancangan dan pelaksanaan. Penutur merancang sesuatu yang mahu dikatakannya, berdasarkan kemahuan untuk mengubah persepsi si pendengar. Kemudian penutur melaksanakan perancangannya dengan menuturkan segmen, perkataan, frasa dan ayat. Ketika merancang dan melaksanakan sesuatu percakapan inilah yang melibatkan 3 operasi iaitu operasi semantik, operasi sintaksis dan operasi fonologi.
Contohnya, seseorang itu membina dan melafazkan ayat seperti di bawah;
Dia merupakan pelajar yang disayangi oleh gurunya
Dalam menuturkan ayat di atas, secara umumnya proses itu bermula di otak penutur iaitu dirancang dan dibina, kemudian otak menghantar gelombang isyarat melalui impuls-impuls saraf meransang alat-alat artikulasi untuk menuturkannya. Apakah yang berlaku dalam otak si penutur sehingga alat-alat artikulasinya menghasilkan bunyi-bunyi bahasa dan dipersetujui pula bahawa pertuturan itu bermakna ? Inilah yang cuba diterangkan apa yang berlaku dalam operasi semantik, operasi sintaksis dan operasi fonologi.

Operasi Semantik
Operasi semantik dalam proses penghasilan percakapan adalah pemilihan perkataan-perkataan yang sesuai dengan idea atau makna yang dihasratkan. Operasi ini berlaku di dalam otak seseorang yang ingin menghasilkan percakapan atau pertuturan.
Sebelum sesuatu percakapan terhasil, si penutur perlu menentukan apakah dia ingin bercerita, berbual, memberi arahan, menghuraikan sesuatu peristiwa atau membuat ikrar? Contohnya, si penutur ingin menceritakan sesuatu peristiwa yang disaksikannya mengenai ‘pokok bunga’. Sudah ada gambaran-gambaran dalam otak penutur apa yang ingin dituturkan seperti batang, daun, bunga, bau haum, warna daun dan bunga, dan sebagainya. Setiap gambaran-gambaran itu diwakili oleh perkataan-perkataan yang telah tersedia dalam otak penutur. Gambaran-gambaran ini yang akan membantu dalam perancangan dan pembinaan ayat-ayat yang akan membawa idea atau makna yang dipilih.
Setiap jenis wacana mempunyai struktur yang berlainan dan penutur mesti merancang pertuturannya supaya sesuai dengan jenis wacana di samping dapat menyampaikan mesej yang betul (Dr.Noor Aina Dani 2007:135)
Sebagai contohnya seseorang penutur ingin memberitahu sesuatu yang mudah kepada seseorang atau pendengar, Penutur ternampak seorang perempuan yang dikenalinya bernama Aishah. Penutur memerhatikan Aishah hendak menutup pintu. Mungkin kata-kata yang sudah terpilih dan yang sedang diolah dalam bentuk yang tersusun di dalam otak seperti di bawah;
/Aishah/, / sedang/, /menutup/, / pintu/, / itu./
Secara luarannya, agak mudah si penutur membina dan merancang ayat tersebut. Sebenarnya untuk membina dan merancang ayat tersebut mengalami proses yang rumit dan berperingkat-peringkat. Sebelum terbitnya ayat di atas dan dituturkan oleh si penutur, dalam otak penutur berlaku proses pemilihan perkataan-perkataan daripada seperangkat perkataan-perkataan yang ada dalam ingatan si penutur. Perkataan /Aishah/, /sedang/, menutup/, /pintu/, /itu/ mungkin dipilih dari kata-kata yang ada dalam ingatan si penutur setelah mengalami proses pemilihan yang bersesuaian dengan idea atau makna yang ingin disampaikan oleh si penutur.
Andaikan jika perkataan /Aishah/ dalam ayat di atas diubah, dan otak si penutur memilih perkataan /Ahmad/;
/Ahmad/, / sedang/, / menutup/, / pintu/, / itu/.
Perkataan /Aishah/ dan /Ahmad/ jika dilihat dari kelas katanya iaitu kata nama dan berperanan sebagai frasa nama dalam binaan ayat tersebut. Walau bagaimanapun kedua-dua perkataan tersebut telah merubah idea atau makna yang ingin disampaikan oleh penutur. Jika perkataan /menutup/ diubah dengan perkataan /membuka/ sudah menunjukkan satu idea atau makna yang berlainan. Jelasnya di sini, dalam operasi semantik, si penutur akan merancang dan menentukan bahawa sesuatu ayat atau ungkapan yang ingin disampaikan menggambarkan makna yang ingin disampaikan kepada si pendengar. Pada dasarnya, dalam otak si penutur mempunyai begitu banyak ingatan yang dirujuk.
Penyimpanan kata-kata mesti berlaku terlebih dahulu sebelum penghasilan percakapan kerana kita tidak memilih satu kata sahaja daripada kosa kata dalam fikiran kita lalu menyebutnya. Sebaliknya, kita memilih beberapa perkataan lalu menyusun keseluruhan frasa dan ayat. Unit-unit bahasa yang terkandung dalam frasa atau ayat boleh diganti atau dipindahkan ke awal, tengah, atau hujung frasa dan ayat. Dengan itu, dapatlah dikatakan pemilihan leksikal terjadi sebelum morfem-morfem ditambah untuk menghasilkan tatabahasa sesuatu bahasa.

Operasi Sintaksis
Operasi ini adalah pemilihan pola ayat yang sesuai dan dalam pola ayat inilah segala perkataan yang terpilih itu disusun.
Menurut Dr.Noor Aina Dani (2007:133) bahawa penghasilan percakapan melibatkan unit bahasa yang berlainan – fitur, segmen, morfem, kata, klausa dan ayat. Semua unit tersebut wujud dalam tatabahasa. Perkaitan unit-unit yang sedemikian rupa menunjukkan bahawa sewaktu bercakap, kata-kata distrukturkan menjadi frasa sintaksis yang lebih besar. Kata-kata sedia tersimpan dalam memori sebelum fitur-fitur, segmen-segmen, atau kata-kata diselerakkan menjadi frasa sintaksis.
Pemilihan perkataan-perkataan yang akan digunakan untuk mengungkap idea dan makna, juga dipertimbangkan oleh penutur sebelum menghasilkan percakapannya. Perkataan-perkataan tersebut bukan setakat diketahui dan difahami, bahasa yang digunakan juga berbeza-beza mengikut taraf pendengarnya, sama ada pendengarnya lebih tua atau muda, sahabat karib atau tetamu, dan golongan kanak-kanak. Contohnya, perhatikan ayat-ayat di bawah;
1. Aku nak makan nasi lemak.
2. Saya nak makan nasi lemak.
3. Abang nak makan nasi lemak.
Berdasarkan ayat-ayat di atas, ayat 1 sesuai jika dituturkan kepada rakan atau sahabat, ayat 2 lebih manis diungkapkan jika pendengar lebih berusia atau lebih sopan dan ayat 3 ketika menggambarkan situasi pertuturan kepada orang yang lebih muda atau golongan kanak-kanak. Walaupun jika dianalisis secara permukaan atau konstituen ayat menggambarkan idea atau makna yang sama atau hampir sama, tetapi penutur akan mempertimbangkan ayat mana yang akan dipilih untuk disampaikan kepada pendengar. Inilah yang dikatakan proses penyuntingan sosial dalam otak penutur sebelum menghasilkan pertuturan.
Dalam proses perancangan dan pelaksanaan pertuturan, perancangan ayat adalah untuk menghasilkan sesuatu ayat yang mengandungi mesej yang betul. Mahu tidak mahu penutur mesti dapat memenuhi kehendak ini. Secara langsung atau tidak penutur perlu memikirkan tentang lakuan bahasa, subjek ayat, pengganti subjek, maklumat baru, cara menyampaikan mesej, penggunaan makna, sindiran, kiasan dan retorik. Di samping itu, perancangan konstituen juga amat penting. Penutur perlu memilih perkataan, frasa, idiom dan jalan bahasa yang betul yang dapat mengisi setiap konstituen ayat. Walaupun penutur telah merancang keseluruhan bentuk ayat, biasanya dia memilih perkataan-perkataan yang khusus frasa demi frasa.
Begitu banyak proses yang berlaku dalam otak penutur sebelum menghasilkan pertuturan. Namun semua proses ini melibatkan keputusan yang dibuat secara tidak sedar dan dilaksanakan secara serta-merta. Hal ini menyebabkan segala operasi mental yang rumit dan segala kesukaran ketika membuat keputusan dalam penghasilan percakapan itu tidak ketara (Dr.Noor Aina Dani 2007:133)

Operasi Fonologi
Operasi fonologi pula melibatkan tugas menerbitkan idea dalam bentuk bunyi bahasa yang dihasilkan oleh sistem ujaran seperti lidah, bibir, tenggorok dan seumpamanya.
Pada tahun 1873, Carl Wernicke menemukan kedudukan daerah Broca yang berhampiran dengan bahagian otot-otot yang mengawal pertuturan manakala daerah yang dikenalpastinya iaitu Wernicke berhampiran dengan bahagian otak yang menerima ransangan pendengaran. (Dr.Noor Aina Dani 2007:157)
Kedudukan daerah Broca adalah berdekatan dengan jalur motor yang mengawal pergerakan otot-otot lidah, bibir, rahang, lelangit lembut, dan anak tekak. Mengikut Wernicke, apabila sesuatu perkataan dibaca, maklumat tentang perkataan itu bergerak dari mata ke medan visual, kemudian beralih ke girus sudut, iaitu transit untuk pertuturan, pembacaan, dan penulisan dihubungkaitkan dan menyebatkan auditori perkataan itu diaktifkan dalam daerah Wernicke. (Dr.Noor Aina Dani 2007:157)
Berdasarkan kepada proses perancangan dan pelaksanaan pertuturan, ‘program alat-alat artikulasi’ termasuk dalam operasi fonologi. Setelah perkataan dipilih, perkataan tersebut dimasukkan ke dalam program alat-alat artikulasi yang bertindak sebagai ‘penampan’ ingatan. Dengan cara ini penutur berupaya menguasai semua perkataan untuk satu konstituen ayat. Tindakan ini dirancang dengan serta merta. Penampan mengandungi satu gambaran tentang segmen fonetik dan pola intonasi yang betul. Proses operasi fonologi dapat melaksanakan isi kandungan ‘program alat-alat artikulasi’ yang dilakukan oleh mekanisme artikulasi yang serentak dengan masa dan tingkahlaku pertuturan.(Dr.Noor Aina Dani 2007.136)
Sewaktu penghasilan percakapan melibatkan pemilihan leksikal, guna dan salah guna aturan tatabahasa, serta pengaruh linguistik.
1. Pemilihan leksikal
Kita membuat pilihan leksikal yang salah kerana makna beberapa leksikal berkait antara satu sama lain. Kaedaan ini disebut paduan, iaitu leksikal yang digunakan terdiri daripada dua atau lebih kata dan maknnya disatukan. Contohnya;
splinters / blisters > splisters
edited / annotated > editated
a swinging / hip chick > a swip chick
frown / scowl > frowl
2. Guna dan salah guna aturan tatabahasa
Kesalahan yang spontan semasa menghasilkan percakapan menunjukkan bahawa aturan morfologi dan sintaksis disalahgunakan oleh penutur semasa bercakap. Contoh;
groupment untuk grouping
ambigual untuk ambiguous
bloodent untuk bloody
Lazimnya untuk aturan membentuk kata-kata yang munasabah telah disalahgunakan untuk menerbitkan kata-kata yang tidak wujud dalam tatabahasa bahasa Inggeris.
3. Pengaruh linguistik
Pengaruh ini turut menganggu proses penghasilan percakapan. Individu yang berkata He made headlines sepatutnya menyebut He made hairlines kerana yang dirujuk ialah perbuatan seorang tukang gunting rambut. Kedua-dua kata majmuk yang digunakan menyatakan nama benda yang bermula dengan bunyi yang sama /h/. Kata majmuk tersebut dibentuk daripada dua suku kata dengan pola tekanan nada yang sama [he+ad] dan [ha+ir] dan mengandungi morfem kedua yang serupa [lines].
Sewaktu seseorang bercakap dengan spontan, dia kadang-kadang mengulang dan membetulkan percakapan. Terdapat hentian seperti em, eh, ah dan seumpamanya. Tetapi penutur tidak merancang semua yang ingin dituturkannya. Sebagai akibatnya, terdapatlah kesalahan dalam pertuturan kerana penutur memilih perkataan konstituen demi konstituen. Konstituen berlainan mengikut saiz, iaitu dua hingga tujuh atau lapan perkataan. Dalam pelaksanaan, tujuan utama adalah untuk melaksanakan konstituen yang dirancang rapi mengikut garis panduan berikut;
1. penutur cuba menghasilkan setiap konstituen dengan lancar,
2. penutur cuba merancang setiap konstituen sebagai satu unit,
3. apabila penutur mahu berhenti, dia seringkali membuat penjelasan yang singkat sebelum membetulkan kesalahannya, dan
4. sewaktu memilih perkataan yang hendak digunakan dalam pertuturan, penutur membuat jeda.
Kesimpulan
Jika penutur tahu sesuatu yang hendak dikatakannya dan dapat pula menyampaikan mesej dengan lancar, maka penyampaiannya dianggap unggul. Penyampaian yang unggul merupakan matlamat akhir dalam penghasilan percakapan.

No comments:

Post a Comment